fb fb fb fb fb

Hamilton kekal positif walaupun alami ‘mimpi ngeri’ bersama Ferrari

Pemandu pasukan Ferrari, Lewis Hamilton memandu jentera F1 beliau semasa sesi kelayakan pecut Grand Prix Sao Paulo, Brazil/ AFP

SAO PAULO, 10 November – Lewis Hamilton tetap bersemangat dan optimis terhadap masa depannya walaupun mengakui musim pertamanya bersama Ferrari sebagai satu 'mimpi ngeri' selepas mengalami satu lagi hujung minggu suram di Grand Prix Sao Paulo, Brazil.

Kedua-dua pelumba Ferrari, Hamilton dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas hanya enam pusingan akibat kemalangan yang bukan berpunca daripadanya, manakala Hamilton menamatkan saingan selepas 40 pusingan dengan kereta yang rosak teruk.

“Ia benar-benar mimpi ngeri,” kata juara dunia tujuh kali itu. “Saya sedang melalui masa sukar, satu ketika saya hidup dalam impian memandu untuk pasukan hebat ini, namun kini saya terperangkap dalam mimpi ngeri dengan keputusan yang kami raih.

“Saya akan terus bangkit, berlatih dan bekerjasama dengan pasukan. Saya benar-benar mahu membawa pulang mata penting minggu ini, tetapi saya akan kembali lebih kuat di perlumbaan seterusnya,” jelas beliau.

Hamilton kini mencatat rekod tidak diingini apabila gagal naik podium dalam 21 perlumbaan berturut-turut dan merupakan rekod terpanjang tanpa podium bagi pemandu Ferrari.

Nasib malang Hamilton bermula seawal pusingan pertama apabila keretanya mengalami kerosakan selepas bersentuhan dengan pelumba Alpine, Franco Colapinto serta Williams’ Carlos Sainz, pelumba yang digantikannya di Ferrari musim ini.

“Saya tak pasti apa berlaku di selekoh pertama, tapi selepas itu kereta saya terus hilang kawalan. Dapat penalti lima saat pula, jadi memang sukar,” katanya.

Walaupun kecewa, Hamilton menegaskan keyakinannya terhadap pasukan Ferrari masih utuh.

Leclerc sebelum ini menunjukkan prestasi baik dalam sesi kelayakan tetapi terpaksa menarik diri awal akibat pelanggaran di selekoh ketiga, sementara Hamilton gagal menamatkan perlumbaan di tempat yang memberikannya mata.

Perlumbaan seterusnya dalam kalendar Formula 1 dijadual berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat di mana Hamilton berharap dapat menebus kekecewaan bersama Ferrari. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN