LYON, 10 November – Joao Neves muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan di minit ke-95 bagi membantu Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Lyon 3-2 pada Ahad, sekali gus mengembalikan kedudukan juara bertahan itu ke puncak Ligue 1.
PSG memulakan aksi hujung minggu di tangga teratas dengan digugat oleh Marseille yang menewaskan Brest 3-0 pada Sabtu untuk mendahului dengan satu mata.
Namun, jaringan lewat Neves di Stadium Groupama memastikan skuad bimbingan Luis Enrique kembali memimpin liga dengan 27 mata, dua mata di hadapan Marseille di tempat kedua.
“Ketahanan adalah sesuatu yang saya suka. Kami menunjukkan mentaliti yang betul untuk menang. Dalam keadaan sukar, kami tetap berjaya, dan kini kami di tangga pertama Ligue 1,” kata Enrique selepas perlawanan.
Kemenangan itu turut menjadi penawar buat PSG selepas kekalahan kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.
Lyon pula kekal di tangga ketujuh, tujuh mata di belakang pendahulu liga.
Perlawanan bermula rancak apabila PSG mendahului pada minit ke-26 hasil rembatan deras Warren Zaire-Emery selepas menerima umpanan lintang Vitinha.
Empat minit kemudian, Lyon menyamakan kedudukan menerusi Afonso Moreira yang berjaya melepasi perangkap offside sebelum menewaskan penjaga gol, Lucas Chevalier.
Namun PSG kembali di depan hanya tiga minit selepas itu apabila Khvicha Kvaratskhelia menyempurnakan peluang hasil bola rampasan Vitinha, meskipun gol tersebut mencetuskan kontroversi selepas Lyon mendakwa berlaku kekasaran dalam proses mendapatkan bola.
Pengadil bagaimanapun mengekalkan keputusan jaringan selepas semakan VAR, menyebabkan kem Lyon marah dan pembantu jurulatih Jorge Maciel dilayangkan kad kuning atas tindakannya memprotes.
Lyon hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila percubaan Nicolas Tagliafico terkena palang gol.
Dalam satu lagi perlawanan, dua jaringan Emanuel Emegha membantu Strasbourg menewaskan Lille, sekaligus melonjakkan kedudukan mereka dalam carta Ligue 1. -AFP