fb fb fb fb fb

Legenda NBA Lenny Wilkens meninggal dunia pada usia 88 tahun

Legenda bola keranjang Lenny Wilkens / AFP

NEW YORK, 10 November - Legenda bola keranjang Lenny Wilkens, antara individu terpilih yang dimasukkan ke Hall of Fame sebagai pemain dan jurulatih, meninggal dunia pada Ahad pada usia 88 tahun. Keluarganya mengumumkan berita itu tanpa mendedahkan punca kematian.

Wilkens, seorang point guard sembilan kali terpilih dalam aksi All-Star dari 1960-1975, dimasukkan ke Naismith Basketball Hall of Fame sebagai pemain pada 1989 dan sebagai jurulatih pada 1998. Beliau membimbing Seattle SuperSonics merangkul kejuaraan NBA 1979 dan memegang rekod kemenangan NBA sebanyak 1,332 ketika bersara selepas musim 2004-05.

Beliau juga menjadi bintang bola keranjang kolej di Providence. Nombor jersinya, No. 14, digantung pada 1996 dan beliau dimasukkan ke College Basketball Hall of Fame pada 2006. Hanya empat lagi individu, termasuk Tom Heinsohn, Bill Russell, Bill Sharman dan John Wooden, menerima pengiktirafan Hall of Fame sebagai pemain dan jurulatih.

Komisioner NBA, Adam Silver, melahirkan penghormatan kepada Wilkens yang dinamakan dalam pasukan ulangtahun ke-75 NBA pada 2021, memuji sumbangan beliau bukan sahaja di gelanggang tetapi juga sebagai mentor dan tokoh komuniti di Seattle, di mana sebuah patung didirikan sempena namanya.

Sepanjang kerjaya, Wilkens mencatat purata 16.5 mata dan 6.7 assist dalam 1,077 perlawanan musim biasa sebagai pemain dan mengumpul rekod 1,332-1,155 sebagai jurulatih NBA.

Dilahirkan di New York, Wilkens dipilih pada kedudukan keenam keseluruhan draf 1960 oleh St. Louis Hawks, beraksi lapan musim dan lima kali All-Star. Beliau kemudian dipindahkan ke Seattle SuperSonics, mencatat purata 22.4 mata pada musim pertama bersama pasukan itu dan menjadi pemain-jurulatih.

Beliau juga berkhidmat dengan Cleveland Cavaliers, Portland Trail Blazers dan kembali ke Seattle, membawa SuperSonics ke NBA Finals secara berturut-turut, menjuarai gelaran pada musim 1978-79.

Sepanjang 32 musim sebagai jurulatih, Wilkens turut mengendalikan Cavaliers, Atlanta Hawks, Toronto Raptors dan New York Knicks, kini menduduki tempat ketiga rekod kemenangan jurulatih NBA selepas Gregg Popovich dan Don Nelson.

Pada Jun lalu, sebuah patung Wilkens telah didirikan di luar Climate Pledge Arena, bekas gelanggang SuperSonics sebelum pasukan itu berpindah ke Oklahoma City selepas musim 2007/2008. -REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE