fb fb fb fb fb

Hamidin adakan pertemuan dengan Vicente tentukan hala tuju FAM

Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Julai-Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bertindak segera menentukan hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Susulan itu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan dengan pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente di Mallorca Sepanyol, pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.

Kesempatan itu digunakan dengan mengadakan perbincangan bersama Pau Marti bagi merangka hala tuju pasukan selepas ini.

Menurutnya, Pau Marti bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Tambah Datuk Hamidin, fokus skuad kebangsaan selepas ini adalah menghadapi Pestabola Merdeka 2024 pada September dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, November depan.

Sementara itu, Datuk Hamidin menyuarakan sedikit rasa terkilan dengan peletakan jawatan secara mengejut Pan Gon.

Beliau bagaimanapun berpendapat perkara itu adalah lumrah dalam dunia bola sepak.

Datuk Hamidin berkata, jasa jurulatih dari Korea Selatan itu kepada Harimau Malaya tidak akan dilupakan.

Menurutnya, sepanjang dua setengah tahun Pan Gon bersama skuad negara, ranking Harimau Malaya telah meningkat dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan padu kepada pemangku Ketua Jurulatih, Pau Marti Vicente

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD