fb fb fb fb fb

Hala tuju pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem akan diputuskan

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Teka-teki mengenai hala tuju pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi bakal terjawab apabila satu perbincangan secara bersemuka akan dilakukan dalam masa terdekat dengan atlet yang sedang meningkat naik itu.

Ketua Jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata perbincangan itu bagi mencari persefahaman tentang destinasi Muhammad Azeem yang menerima beberapa tawaran melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

Katanya, selain Muhammad Azeem, perbincangan tersebut turut melibatkan banyak pihak, termasuk ibu bapa dan jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.


(Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi / Foto fail)

Atlet berusia 18 tahun itu telah menerima tawaran antaranya dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi MARA, selain dua tawaran ke luar negara daripada Universiti Winona dan Minnesota, Amerika Syarikat.

Muhammad Azeem yang memperoleh keputusan 6-A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, mempunyai catatan peribadi terbaik 10.28 saat bagi acara 100 meter dan 20.89 saat dalam 200 meter.

Dia juga berjaya mengesahkan penyertaan dalam kedua-dua acara itu pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia dari 1 hingga 6 Ogos depan.

Media Baharu