fb fb fb fb fb

Guardiola minta pemilik Chelsea terus sokong Graham Potter

(FOTO AFP)

MANCHESTER, 9 Januari - Pengurus Manchester City, Pep Guardiola meminta pemilik Chelsea, Todd Boehly untuk terus memberi sokongan kepada pengurus Chelsea, Graham Potter selepas Manchester City membelasah 'The Blues' 4-0 pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Potter yang bermasalah tewas buat kali kedua di tangan City dalam empat hari ketika harapan mereka untuk menang piala domestik musim ini berakhir dengan kekecewaan.

Sudah disingkirkan pada Piala Liga oleh City November lalu dan kalah 1-0 di tangan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu Khamis lalu, musim goyah Chelsea semakin menghampiri krisis selepas skuad Guardiola mengganas di Stadium Etihad.

Chelsea hanya menang tiga daripada keseluruhan 12 perlawanan tetapi Guardiola menenangkan Potter apabila dia menggesa pengurusan tertinggi Blues untuk memberikan masa buat pengendali itu meneruskan pendekatannya.

(Pemain pertahanan Chelsea dari Sepanyol, Cesar Azpilicueta (tengah) memberi reaksi
terhadap kekalahan mereka selepas perlawanan bola sepak pusingan ketiga Piala FA Inggeris
antara Manchester City dan Chelsea di Stadium Etihad di Manchester / FOTO AFP)

"Saya mahu katakan kepada Todd Boehly, berikan dia masa. Saya tahu dalam kelab besar, keputusan adalah penting tapi saya mahu katakan berikan dia masa.

"Apa yang dia lakukan di Brighton adalah menakjubkan, tetapi kita perlukan masa pada musim pertama. Saya ada (Lionel) Messi di Barcelona pada musim pertama saya, jadi saya tidak perlu dua musim kerana Messi ada di sana," kata Guardiola.

Chelsea gagal menghasilkan sebarang cubaan pada babak pertama dan Potter menggambarkan ia sebagai "menyakitkan."

Potter menyatakan ia mungkin kerana krisis kecederaan yang membuatkan dia terpaksa mengetepikan sembilan pemain dan memberikan pemain remaja, Bashir Humphreys peluang membuat penampilan sulung di bahagian pertahanan.

Namun pengendali berusia 47 tahun itu merumuskan persembahan mereka perlu segera diperbaiki.-AFP

Media Baharu