fb fb fb fb fb

Greenwood terus ditahan atas dakwaan serangan seksual, ugutan bunuh

FOTO AFP

MANCHESTER, 2 Februari - Penyerang Manchester United, Mason Greenwood terus ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan serangan seksual dan ancaman bunuh ke atas seorang wanita yang mula tersebar dalam laman sosial.

Polis Greater Manchester berkata, mereka telah menahan pemain berusia 20 tahun berkenaan pada Ahad lalu selepas mendapat laporan tentang jenayah keganasan fizikal tersebut oleh mangsa.

Dakwaan ke atas Greenwood yang dilakukan menerusi bukti video, gambar dan rakaman suara, dipaparkan dalam laman Instagram pada Ahad lalu sebelum ia dipadamkan.

Susulan dakwaan tersebut, United telah menggantung Greenwood dengan memberitahu pemain itu tidak akan menjalani latihan atau beraksi buat kelab Old Trafford berkenaan sehingga diberitahu kelak.

Kelab itu juga mengulangi pendirian mereka dengan mengutuk keras sebarang bentuk keganasan.

Difahamkan, Greenwood akan terus ditahan untuk siasatan selepas mahkamah memberi kebenaran untuk menyambung reman ke atasnya yang sepatutnya berakhir hari ini.

Media Baharu