fb fb fb fb fb

PUFC janji utamakan kebajikan pasukan




KANGAR, 1 Februari- Pendatang baharu Liga Malaysia Divisyen 3 (Liga M3) Perlis United Football Club (PUFC) berjanji akan sentiasa mengutamakan kebajikan pemain dan jurulatih pasukan itu.

Presiden PUFC Shukri Othman berkata ini kerana mereka memiliki semangat yang luar biasa untuk menyumbang bakti kepada sukan bola sepak Perlis.

"Ringgit Malaysia (gaji) bukan menjadi sandaran utama buat keluarga PUFC sebaliknya mereka bermain untuk membawa pasukan bola sepak Perlis ke peringkat yang boleh dibanggakan ...inilah keistimewaan dan kekuatan yang ada pada Perlis United yang sebahagian besar terdiri daripada anak jati negeri ini.

"Kami di peringkat pengurusan akan berusaha memastikan kebajikan pemain serta jurulatih terjaga dan itulah adalah janji saya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pemain dan pegawai PUFC di sini hari ini.

Seramai 24 pemain menandatangani kontrak itu antaranya Azmizi Azmi (kapten), Saddam Hashim, Muhammad Afiq Azmi, Azizi Mat Rose, Muhammad Haziq Mu'iz Abdul, Hairul Fazreen Abu Hassan dan Mohammad Shukor Azmi.

Pengendali PUFC Azizul Abidin berkata beliau yakin kombinasi pemain lama dan baharu adalah 'resepi’ kekuatan bagi pasukan itu.

"Saya dapat lihat keserasian pemain telah mencapai sasaran pasukan namun beberapa pembaikan kecil akan terus dilakukan agar pasukan benar-benar bersedia untuk memulakan aksi bertemu pasukan Terengganu iaitu Real Chukai FC di Stadium Mak Chili di Kemaman nanti (12 Feb)," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penyokong Perlis yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada pasukanitu ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan.

"Kekuatan pasukan bukan hanya terletak pada pemain dan pihak pengurusan sebaliknya sokongan peminat yang amat luar biasa," katanya.- BERNAMA

Media Baharu