KUALA LUMPUR, 1 Februari- Kem wushu negara mungkin tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa menjelang Sukan SEA di Hanoi pada Mei ini.
Jurulatih negara, Lim Yew Fai berkata, ini disebabkan atlet kebangsaan hanya akan menjadikan ujian di tanah air sebagai platform persiapan menghadapi temasya tersebut.
Katanya, dalam tempoh persiapan itu, mereka tidak akan terbabit dalam mana-mana pertandingan kompetitif dan hanya menyertai perlawanan ujian sesama sendiri
Hanya berbaki kira-kira 100 hari lagi sebelum temasya Sukan SEA Vietnam membuka tirainya dan bagi kem wushu negara, mereka harus pantas mencari rentak.
"Sebelum Sukan SEA ini, kita tak ada sebarang kejohanan lagi," katanya.
"Sabtu lalu kita ada melakukan perlawanan ujian. Ia satu perlawanan ujian yang baik selepas dua tahun tanpa kejohanan.
"Apa yang baiknya, atlet dapat merasai rentak pertandingan itu apabila kita melakukan perlawanan ujian dan ia sesuatu yang baik buat mereka.
"Program kita juga akan melakukan lebih banyak perlawanan ujian sebelum ke Sukan SEA. Jadi sebelum Sukan SEA ini, kita akan adakan perlawanan ujian termasuk berpakaian lengkap seperti dalam pertandingan sebenar.
"Kita juga akan menjemput pengadil antarabangsa dari Malaysia untuk memberi markah dalam ujian yang dijalankan."
Selain Sukan SEA, skuad wushu negara juga sedang menjalani persiapan menghadapi Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini serta kejohanan dunia di Tokyo, Jepun pada November depan.
Pada Edisi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, Malaysia merangkul empat pingat iaitu dua emas, satu perak dan satu gangsa.