MIAMI, 25 November – Edisi kedua Great World Race menyaksikan Christian Brown Johnson dari Amerika Syarikat memecahkan dua Rekod Dunia Guinness selepas menamatkan tujuh ultramaraton 50km merentasi tujuh benua dengan purata masa 4 jam 29 minit 22 saat, selain mencatat keseluruhan masa terpantas iaitu enam hari, 10 jam dan 24 minit.
Acara ketahanan global dari 15 hingga 21 November itu menghimpunkan 55 peserta dari 16 negara, yang perlu menamatkan tujuh maraton dalam tujuh hari sambil berdepan cuaca ekstrem, termasuk suhu 34.9°C di Perth dan -27°C di Antartika.
Christian Brown Johnson/REUTERS
Perlumbaan merentasi Cape Town, Abu Dhabi, Algarve dan Cartagena sebelum berakhir di Miami.
Paul Box dari Amerika Syarikat dinobatkan juara lelaki dengan purata masa 3 jam 26 minit 29 saat, manakala Roma Puisiene dari Lithuania muncul juara wanita dengan catatan 3 jam 53 minit 14 saat.
Sementara itu, Dan Little, 82, menjadi peserta tertua menamatkan separa maraton di semua tujuh benua dalam tempoh seminggu, selain menamatkan maraton di enam benua. -REUTERS