SCARPERIA E SAN PIERO, 12 Jun- Penunggang Ducati, Francesco Bagnaia terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia selepas memenangi GP Itali.
Beraksi di halaman sendiri, Bagnaia yang bermula dari petak pertama berjaya mengekalkan penguasaan.
Biarpun penunggang Red Bull KTM, Jack Miller berjaya memintas ketika permulaan, namun Bagnaia pantas untuk merampas kembali posisi hadapan sehingga tamat perlumbaan.
Dua pelumba pasukan Pramac Racing, Jorge Martin dan Johann Zarco mengisi podium kedua dan ketiga.
Kemenangan itu menyaksikan Bagnaia mengutip 131 mata, 21 mata mengatasi pencabar terdekat Marco Bezzecchi yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-8.- REUTERS
(FOTO AFP)