fb fb fb fb fb

Ajax Amsterdam pecat Heitinga

Ketua jurulatih Ajax Amsterdam, John Heitinga/REUTERS

AMSTERDAM, 7 November - Ketua jurulatih Ajax Amsterdam, John Heitinga dipecat susulan permulaan yang mengecewakan yang dilakarkan oleh kelab berkenaan.

Kelab itu dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa Fred Grim akan mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara, manakala penolong jurulatih Marcel Keizer turut meninggalkan pasukan.

Pengarah teknikal Alex Kroes pula berkata, beliau sedia berundur sebelum tamat kontrak pada akhir musim sekiranya kelab menemui pengganti yang sesuai.

“Ia keputusan yang sukar,” kata Kroes dalam kenyataan di laman rasmi kelab.

“Namun, selepas menilai beberapa bulan kebelakangan ini, jelas bahawa keadaan tidak seperti yang kami harapkan. Kami melihat terlalu sedikit kemajuan dan kehilangan mata yang sepatutnya dapat dielakkan.

“Kami tahu seorang jurulatih baharu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan skuad yang telah berubah. Kami telah berikan John masa itu, tetapi kami percaya adalah lebih baik untuk melantik individu lain bagi mengetuai pasukan", maklum kelab berkenaan.

Ajax hanya menang lima daripada 11 perlawanan Eredivisie musim ini dan kini berada di tangga keempat liga.

Namun menduduki tempat tercorot dalam saingan kumpulan Liga Juara Eropah selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut.

Heitinga, 41, merupakan bekas pemain pertahanan Ajax dengan 218 penampilan bersama kelab itu.

Beliau pernah dilantik mengendalikan pasukan muda kelab berkenaan sebelum dilantik sebagai pengurus sementara pada 2023 selepas pemecatan Alfred Schreuder.

Selepas itu, beliau berkelana ke England sebagai penolong jurulatih David Moyes di West Ham United dan kemudian Arne Slot di Liverpool.

Heitinga kembali ke Ajax pada awal musim ini menggantikan jurulatih Itali, Francesco Farioli, namun gagal mengembalikan prestasi pasukan.

Ajax dijadual beraksi Ahad ini menentang Utrecht dalam saingan Eredivisie. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD