BUKIT JALIL, 1 Julai- Kem Gimnastik negara akan menjalani latihan serta pendedahan di Eropah sebagai persiapan sebelum menyertai Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, hujung Julai ini.
Azerbaijan dan Belarus menjadi dua negara yang dipilih sebagai medan persediaan terakhir untuk gimnas negara bermula 5 hingga 20 Julai nanti.
Menurut Ketua Kontinjen Negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya, ia merupakan langkah positif yang diambil Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dalam merealisasikan sasaran satu pingat emas.
"Saya rasa amat gembira melihat perkembangan mereka, mereka pun baru balik dari Pattaya sertai kejohanan di sana, dan 5 Julai mereka akan berangkat ke Baku untuk 'centralise training' disana sebelum ke Belarus untuk kejohanan dan untuk latihan akhir dan terus ke Birmingham," katanya.
(Ketua Kontinjen Negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya)
Sementara itu, gimnas negara, Koi Sie Yan, mengakui pendedahan tersebut penting bagi mempersiapkan dirinya dalam aspek fizikal dan mental sebelum ke Birmingham nanti.
Selain Sie Yan, MGF turut mempertaruhkan dua lagi atlet iaitu Ng Joe Ee dan Izzah Amzan di Sukan Komanwel 2022 nanti.
Sukan gimnastik menjadi satu di antara sasaran emas Malaysia pada temasya itu nanti selain sukan angkat berat, skuasy, boling padang, badminton dan powerlifting.