KUALA LUMPUR, 1 Julai- Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak memuji semangat juang yang dipamerkan anak buahnya ketika menumpaskan wakil Singapura, Tampines Rovers 2-1 dalam aksi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 yang berlangsung semalam.
Kejayaan itu mengesahkan skuad The City Boys mara ke separuh akhir Zon ASEAN selepas muncul naib juara terbaik daripada tiga kumpulan.
Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, KL City berjaya mendahului Tampines 2-0 menerusi jaringan penyerang import, Paulo Josue pada minit ke-16 dan 21.
Bagaimanapun, lawan dari Singapura itu cuba mengejar dengan gol Boris Kopitovic pada minit ke-37, namun ia masih belum cukup membantu mereka melakar kejutan ke atas tuan rumah.
Menurut Bojan, semangat berpasukan yang ditampilkan pasukannya menjadi kunci utama kemenangan KL City dalam pertemuan ini.
"Apa yang paling penting ialah kami menunjukkan semangat berpasukan. Kami banyakmencipta peluang, bertahan dan menyerang secara berpasukan. Jadi, ia membantu kami mara peringkat seterusnya. Kami tidak memiliki pemain bintang dalam pasukan ini. Kami sering bekerja keras secara berpasukan. Kami tidak pernah belasah mana-mana pasukan dengan tiga atau empat gol, namun kami juga tidak pernah tewas dengan jurang yang besar," katanya.
Keputusan itu menyaksikan KL City menghuni tangga kedua kumpulan, terikat empat mata dengan juara dari Indonesia, PSM Makassar.
Mereka dijadual berdepan wakil dari Vietnam, Viettel FC di gelanggang lawan pada 10 Ogos depan.
(Aksi 'The City Boys' membenam Tampines Rovers 2-1, semalam)