fb fb fb fb fb

Ghalenoei kritik media selepas mara ke separuh akhir Piala Asia

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei / Foto REUTERS

AL RAYYAN, 4 Februari - Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei melepaskan kemarahannya terhadap media negara itu selepas membantu pasukannya mara ke separuh akhir Piala Asia.

Ghalenoei berkata kritikan yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak berasas sama sekali sejak mengemudikan pasukan 'Singa Parsi' itu 11 bulan yang lalu.

Ghalenoei yang mengambil alih pasukan pada Mac tahun lalu buat kali kedua sebelum ini berjaya membantu Iran layak ke suku akhir Piala Asia 2007, sebelum sekali lagi mara ke separuh akhir tahun ini selepas menewaskan Jepun 2-1.

Pengendali berusia 60 tahun itu menggantikan bekas pengurus, Carlos Queiroz belum lagi tewas dalam 16 perlawanan setakat ini.

Ghalenoei dikritik hebat oleh media Iran selepas membuat keputusan bagi menyertai dua kejohanan iaitu Kejohanan Antarabangsa Jordan dan Piala Negara-Negara CAFA sebagai persedian menyertai Piala Asia.

"Media seharusnya mempercayai kemampuan jurulatih tempatan. Kami mempunyai jurulatih yang baik, namun tidak berjaya untuk ke Eropah atas dasar politik Iran ketika ini", kata Ghalenoei kepada pemberita selepas menerima 'standing ovation' ketika sidang media.

"Ketika 11 bulan lalu, media Iran mengkritik pasukan kerana menyertai kedua-dua pertandingan berkenaan.

"Tetapi adakah anda (media Iran) sedar bahawa lima pasukan yang beraksi di suku akhir Piala Asia datang daripada kejohanan tersebut? Tiga pasukan itu kini berada di Separuh akhir Piala Asia", jelas Ghalenoei.

"Saya tidak mengatakan bahawa kritikan itu sesuatu yang tidak baik buat pasukan.

"Namun, ada sesetengah daripada mereka cuba merosakkan pasukan ini sejak 11 bulan lalu. Ini adalah sesuatu yang tidak baik", tambah Ghalenoei lagi.

Sebelum ini, Skuad kendalian Ghalenoei itu telah memenangi kejohanan sulung tujuh pasukan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) pada Jun, menewaskan Uzbekistan pada perlawanan akhir.

Iran kemudian memenangi Kejohanan Antarabangsa Jordan yang menampilkan empat pasukan di Amman pada Oktober apabila menewaskan Qatar pada perlawanan akhir pertandingan yang turut menampilkan Jordan dan Iraq.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD