KUALA LUMPUR, 2 November - Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan geran padanan berjumlah RM72,000 kepada penganjur perlumbaan dron trek vertikal tertutup pertama dunia, Drone Race Asia (DRA) 2023.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata geran berkenaan bermatlamat bukan sekadar meningkatkan populariti sukan itu malah membantu pasukan negara menaikkan ranking dunia mereka.
"Sukan berkenaan merupakan platform bagi generasi muda meluangkan masa dengan aktiviti bermanfaat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan DRA 2023, di sini.
Kejohanan tiga hari bermula semalam (Jumaat) hingga esok (Ahad) itu melibatkan lapan pasukan termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Sepanyol, Thailand dan Singapore dengan menawarkan hadiah terkumpul lebih RM23,000.
Ia dianjurkan bersama DRA Drone Racing Club, sebuah persatuan sukan berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1996 dan Magic Beans Alchemy Sdn Bhd.
Dalam perkembangan lain, Hannah turut memuji pencapaian Harimau Malaya yang berjaya mendaki tujuh anak tangga untuk berada di kedudukan ke-130 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata, ini membuktikan segala perancangan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk melantik Kim Pan Gon bagi mengemudi skuad kebangsaan mencetuskan impak positif.
Menurut laman sesawang www.fifa.com, pasukan negara mengumpul keseluruhan 1,122.87 mata untuk meningkat daripada kedudukan ke-137 dunia yang dihuni sejak 26 Oktober lepas.
Perkembangan positif itu dicapai susulan kejayaan Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan menewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan.
Selain itu, FAM dalam misi memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 120 terbaik menjelang akhir tahun ini.