BARCELONA, 21 April- Bekas pemain wanita nombor satu dunia dan pemenang dua kali Grand Slam Garbine Muguruza mengumumkan persaraannya daripada tenis pada Sabtu selepas lebih setahun tidak beraksi.
“Masanya sudah tiba untuk mengucapkan selamat tinggal, ia merupakan kerjaya yang panjang dan indah, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk bersara,” kata Muguruza, 30, pada sidang media di Anugerah Laureus.
"Ia adalah keputusan yang saya telah ambil sedikit demi sedikit."
Muguruza tidak menyertai aksi kompetitif sejak Januari 2023 selepas kali terakhir beraksi di Terbuka Lyon sebelum berehat daripada sukan itu.
“Apabila saya berhenti bertanding, saya pulang ke rumah dan saya menyambut rehat dengan tangan terbuka,” kata Muguruza yang menamatkan kariernya dengan 10 gelaran perseorangan.
"Setiap hari yang berlalu saya berasa lebih baik dan saya tidak terlepas melakukan disiplin hidup saya sebelum ini, jadi ia adalah satu perkara yang progresif."
Muguruza membuat penampilan pertamanya dalam seri utama WTA pada 2012, dan mencapai final Grand Slam pertamanya pada 2015 di mana dia ditewaskan oleh Serena Williams di Wimbledon.
Bagaimanapun dia menewaskan pemain Amerika itu untuk menuntut Grand Slam pertamanya di Terbuka Perancis pada 2016, dan kemudian menewaskan Venus Williams pada 2017 untuk memenangi Wimbledon.
Kemenangannya di Paris menjadikan Muguruza wanita Sepanyol pertama menjulang trofi Grand Slam sejak Arantxa Sanchez Vicario melakukannya di ibu negara Perancis itu pada 1998.
Apabila dia menambah koleksi gelaran Wimbledon pada pada tahun berikutnya dia menjadi wanita Sepanyol pertama yang berjaya di Kelab All England sejak Conchita Martinez pada 1994.
Menjadiannya lebih menarik, Martinezlah yang melatihnya untuk merebut gelaran itu dan dua bulan kemudian Muguruza naik ke nombor satu dunia.-REUTERS