KUALA LUMPUR, 20 April- Peluang buat skuad kendalian Juan Torres Garrido melangkah ke pusingan seterusnya Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 semakin sukar selepas mencatat kekalahan kedua dalam Kumpulan D.
Terbaharu, Harimau Muda tewas 0-2 kepada Vietnam sekali gus menduduki tangga tercorot kumpulan.
Babak pertama berlangsung dengan permainan agresif dilancarkan kedua-dua pasukan.
Pengadil Mooud Bonyadifard melayangkan 7 kad kuning dengan empat milik pemain Vietnam dan selebihnya buat skuad negara.
Namun ia tidak mengugat corak permainan Skuad Naga Emas selepas Khuat Van Khang meledak gol pada minit ke-39.
Stadium Antarabangsa Khalifa terus bergema dengan sorakan penyokong Vietnam selepas Vo Hoang Minh menyumbat gol kedua menerusi sepakan penalti.
Aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa itu turut menyaksikan pengendali skuad negara Juan Torres Garrido membuat beberapa pertukaran antaranya memasukkan Daryl Sham George dan Izwan Yuslan untuk menguatkan barisan pertahanan.
Selepas tewas kedua-dua aksi awal, skuad negara kini menghuni kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata manakala Vietnam gah teratas dengan mengumpul 6 mata.
Selepas ini, Malaysia akan melengkapkan kempen Piala Asia B-23 2024 menentang Kuwait di Stadium Al-Janoub sementara Uzbekistan akan berdepan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Selasa.