fb fb fb fb fb

Ganjaran untuk skuad sepak takraw, KBS lulus insentif khas berjumlah RM170,000

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

SEPANG, 3 Jun - Pasukan sepak takraw kebangsaan bakal menerima insentif khas berjumlah RM170,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) susulan kejayaan membanggakan pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata ganjaran itu akan dibahagikan kepada pemenang pingat emas acara double dan regu serta pemenang pingat perak acara berpasukan.

"Kita telah meluluskan insentif khas kepada tiga pasukan itu, satu adalah untuk pasukan double, pasukan itu akan dapat ganjaran RM60,000, untuk acara regu insentif RM60,000, untuk team berpasukan yang menang pingat perak yang itu kita akan bagi sepasukan insentif khas RM50,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal Satu pada majlis menyambut kepulangan skuad boling padang para dari Kejohanan Dunia 2024 di Ekurhuleni, Afrika Selatan.

Pada 22 Mei lepas, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada pertandingan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Dalam pada itu, Hannah berkata MSN masih lagi berbincang mengenai kemasukan semula sepak takraw sebagai sukan teras seperti diminta Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan sebelum ini.

Sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo merupakan tiga sukan digugurkan MSN daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan berdasarkan semakan semula, termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN