fb fb fb fb fb

Gagal bawa perubahan, Leverkusen pecat Ten Hag

FOTO REUTERS

LEVERKUSEN, 2 September - Kelab Jerman Bayer Leverkusen memecat Ketua Jurulatih Erik ten Hag selepas hanya dua bulan memegang jawatan berkenaan.

“Bayer 04 Leverkusen telah menamatkan kontrak dengan pengendali Erik ten Hag berkuat kuasa serta-merta.

"Sesi latihan akan dikendalikan buat sementara waktu oleh jurulatih pembantu,” kata kelab Bundesliga itu menerusi satu kenyataan.

Jurulatih dari Belanda itu terpaksa berundur selepas Leverkusen hanya memperoleh satu mata daripada dua perlawanan liga pertama musim ini.

Pasukan itu tewas 1-2 di laman sendiri kepada Hoffenheim dan seri 3-3 dengan Werder Bremen, meskipun mendahului dua gol menentang pasukan Bremen yang beraksi dengan 10 pemain.

Ten Hag dilaporkan turut hilang keyakinan dalam aspek lain.

Pihak pengurusan kelab tidak memberikan sokongan kepadanya sepanjang perlawanan di Bremen pada Sabtu.

Selepas ini Leverkusen akan menentang Eintracht Frankfurt pada 12 September ini.

Bekas jurulatih Ajax dan Manchester United berusia 55 tahun itu menggantikan Xabi Alonso, yang berpindah ke Real Madrid, pada musim ini.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN