LIVERPOOL, 23 Jun-Pemain kebangsaan Belanda, Jeremie Frimpong yakin beliau mampu menggantikan peranan yang ditinggalkan Trent Alexander-Arnold di barisan pertahanan Liverpool selepas bintang England itu menyertai Real Madrid bulan lalu.
Frimpong, yang baru sahaja diumumkan sebagai pemain baharu Liverpool dari Bayer Leverkusen, menjadi pembelian pertama Arne Slot sejak kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris.
“Liverpool ialah sebuah kelab besar, jadi memang tugas besar untuk diisi, tak kira siapa pun,” katanya kepada Sky Sports dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad.
“Ini adalah pasukan juara… mereka memenangi trofi atas sebab tertentu. Bila anda bermain untuk pasukan seperti Liverpool, anda perlu mengisi kekosongan itu dan tampil dengan persembahan terbaik.
“Saya sentiasa percaya pada diri sendiri. Saya seorang pemenang. Itulah yang saya akan bawa ke dalam pasukan", katanya.
Frimpong, 24, dilahirkan di Amsterdam dan menghabiskan sembilan tahun dalam akademi Manchester City sebelum memulakan karier seniornya bersama Celtic pada 2019, dan menjuarai Liga Perdana Scotland dalam musim pertamanya.
Beliau kemudian menyertai Bayer Leverkusen pada 2021 dan bermain kira-kira 34 perlawanan musim lalu ketika kelab itu memenangi Bundesliga 2023/24.
“Liga Perdana Inggeris ialah liga terbaik di dunia. Saya dibesarkan di Manchester, jadi memang dari dulu saya ingin kembali. Ia memang sudah dirancang,” kata Frimpong.
“Saya tahu bagaimana rasanya menjadi juara bersama Leverkusen. Jadi menyertai satu lagi pasukan juara adalah satu keistimewaan. Dulu saya hanya menonton Liverpool, sekarang saya bermain untuk mereka, ia memang luar biasa", ujarnya.
“Pengurus telah memberitahu bagaimana saya boleh membantu pasukan dan dia sangat sukakan gaya permainan saya. Itu memberi saya motivasi tambahan dan keyakinan", tambahnya.-REUTERS.