fb fb fb fb fb

Format Liga Negara AFC diumum dalam masa terdekat

Saingan Liga Negara AFC menyerupai format Liga Negara UEFA yang dilancarkan pada 2018

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan melancarkan kejohanan Liga Negara atau 'Nations League', sebagai usaha untuk meningkatkan standard persaingan serta peluang komersial bagi pasukan kebangsaan di seluruh benua Asia.

Badan induk itu tidak menetapkan tarikh mula kejohanan, namun merancang untuk menjalankan pertandingan berkenaan mengikut kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Liga Negara AFC merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen berterusan kami untuk menyokong pembangunan anggota yang melibatkan 47 buah persatuan," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John dalam satu kenyataan.

"Dengan memperkenalkan platform pertandingan yang berstruktur, matlamat kami adalah memastikan akses berterusan kepada perlawanan berkualiti tinggi dan pada masa yang sama menangani cabaran logistik dan kos yang dihadapi oleh pasukan-pasukan kebangsaan," menurut kenyataan itu.

Format pertandingan dan kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Saingan Liga Negara AFC itu menyerupai format Liga Negara UEFA yang dilancarkan pada tahun 2018.

Ketika ini, AFC menganjurkan Kejohanan Piala Asia setiap empat tahun dengan edisi seterusnya yang melibatkan 24 pasukan dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada Januari 2027. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK