fb fb fb fb fb

MRSM Bagan Datuk kekal juara kejohanan MRSM-SBP Bawah 14 Tahun 2025

Pasukab bola sepak MRSM Bagan Datuk / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Disember – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bagan Datuk mengekalkan kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Kebangsaan MRSM-SBP 2025 Bawah 14 Tahun selepas menewaskan Sekolah Berasrama Penuh The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) 1–0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di UM Arena, Universiti Malaya, hari ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pada separuh masa kedua hasil gerakan berkualiti pemain MRSM Bagan Datuk yang berjaya menembusi pertahanan kental MCKK.

Kemenangan itu menyaksikan MRSM Bagan Datuk muncul juara bagi kategori SUPER buat kali kedua berturut-turut, sekali gus mengekalkan gelaran yang dimenangi pada edisi tahun lalu.

Menurut jurulatih MRSM Bagan Datuk, kejayaan pasukan dibina menerusi pengurusan masa latihan yang berkesan walaupun berdepan kekangan jadual akademik pemain.

“Seperti biasa, kami melatih anak-anak asrama dalam kekangan masa kerana jadual akademik mereka padat. Kebiasaannya hanya hujung minggu menjadi ruang latihan, jadi setiap masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk latihan dan penerapan taktikal permainan,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek mental menjadi fokus utama ketika perlawanan berintensiti tinggi.

“Apabila berdepan tekanan, saya hanya memberi kata-kata semangat supaya pemain kekal fokus kepada diri sendiri dan kekuatan pasukan, bukan memikirkan pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat kejohanan di sebuah universiti di ibu negara.

Kejohanan MRSM-SBP National Football Championship 2025 Under-14 menghimpunkan pasukan terbaik MRSM dan sekolah berasrama penuh dari seluruh negara, sekali gus menjadi platform penting dalam pembangunan bakat bola sepak peringkat akar umbi.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI