fb fb fb fb fb

Final Piala FA: Kelab Penyokong Bola Sepak JDT sedia 12 bas, konvoi ke Stadium Nasional

(12 buah bas yang disediakan berkonvoi ke Stadium Nasional Bukit Jalil)

JOHOR BAHRU, 10 September- 12 buah bas disediakan Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) untuk berkonvoi ke Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022, JDT menentang Terengganu FC (TFC) malam ini.

Bas membawa 455 penyokong itu bergerak dari Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, pada pukul 8 pagi.

Timbalan Presidennya, Mohd Fadzli Sapie berkata tempoh masa dua minggu diambil untuk semua persiapan termasuk menyediakan bas dan pembelian tiket perlawanan.

"Setiap penyokong membayar RM125 untuk tiket perlawanan, bas, t-shirt dan lain-lain.

"Jadi secara keseluruhan, perjalanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil melibatkan kos kira-kira RM57,000," katanya.

(Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Takzim, JDT) 

Beliau menyatakan demikian kepada RTM sebelum kelab konvoi berkenaan berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, penyokong yang ditemui berharap, JDT berjaya menjulang Piala FA 2022, namun akan tetap menyokong Harimau Selatan walaupun tiada kemenangan direkodkan.

"Harapan kami mestilah untuk menang, kali terakhir tahun 2016 kita menang, sudah beberapa tahun...kita harap sangat dapat ambil balik piala ini. Target 2-0...sebelum ini kita PKP, tidak dapat beramai-ramai seperti ini, kita berkumpul dalam keseronokan tapi kita masih beringat supaya berhati-hati," kata Kamariah A. Kadir.

"Insya-Allah kita menang, anggaran 3-1," keyakinan disuarakan Rahman Hamzi.

"Harapan kami JDT bawa balik Piala FA ke Johor...target kami kalau boleh JDT 2, Terengganu kosong. Kami teruja dapat bersama, seronok," menurut Zulkafli Maulot.

Media Baharu