KEPONG, 25 Februari -'First Instance Body' (FIB) akan mengadakan sesi temu duga bersama wakil beberapa kelab bolasepak Amatur (AFL) M3 yang memohon lesen luar biasa menyertai saingan Liga Super 2024-2025, minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan, pihak FIB juga telah menerima dokumen tambahan diperlukan daripada pasukan terbabit.
Menurut Stuart, pihaknya sedang menunggu keputusan FIB susulan banyak percaturan pada musim akan datang.
"Kami menunggu keputusan daripada FIB disebabkan kami banyak percaturan untuk musim yang akan datang ini melibatkan pencaturan jadual stadium-stadium yang masa ini kita dah buat pemeriksaan untuk persediaan musim yang baharu dan juga dengan pengeluaran VAR untuk musim akan datang ini.
"Jadi, impak kepada operasi adalah berat dan kami mengharapkan keputusan dapat dikeluarkan cepat", katanya yang ditemui selepas majlis Program Back to School 2024 anjuran MFL di sini pada Sabtu.