fb fb fb fb fb

Ferrari sambung kontrak Ketua Pasukan F1, Fred Vasseur

Ketua pasukan F1 Ferrari, Fred Vasseur / REUTERS

BUDAPEST, 31 Julai – Ferrari mengumumkan lanjutan kontrak jangka panjang bersama Ketua Pasukan Formula One (F1), Fred Vasseur, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan beliau dalam pasukan itu.

Vasseur, 57, yang menyertai Ferrari sejak awal 2023, memainkan peranan penting membawa juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, dari Mercedes ke Ferrari musim ini.

Kedudukan Vasseur pernah dipertikaikan awal tahun ini susulan laporan yang mendakwa Ferrari cuba mendapatkan khidmat Christian Horner, warga Britain yang baru-baru ini dipecat Red Bull dan masih belum mengumumkan langkah seterusnya.

“Hari ini, kami mahu mengiktiraf apa yang telah dibina dan komited untuk terus mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna dalam satu kenyataan menjelang Grand Prix Hungary hujung minggu ini.

“Ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap kepimpinan Fred, yang berasaskan aspirasi bersama, jangkaan sepunya dan tanggungjawab yang jelas.”

Selepas 13 daripada 24 perlumbaan musim ini, Ferrari berada di kedudukan kedua keseluruhan tetapi ketinggalan 268 mata di belakang pendahulu kejuaraan, McLaren.

Hamilton, pelumba paling berjaya dalam sejarah F1 dengan 105 kemenangan, masih belum menaiki podium bersama pasukan baharunya, namun berjaya memenangi perlumbaan pecut di Shanghai pada Mac lalu.

Ferrari turut menonjolkan kebolehan Vasseur memimpin di bawah tekanan dan membawa perubahan dalam pasukan.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang terus diberikan Ferrari. Pembaharuan kontrak ini bukan sekadar pengesahan, tetapi cabaran untuk terus maju, kekal fokus dan memberikan yang terbaik,” kata Vasseur.

“Sepanjang 30 bulan lalu, kami telah membina asas kukuh, dan kini tiba masanya untuk mengukuhkannya dengan konsistensi dan tekad. Kami tahu apa yang diharapkan, dan kami semua komited untuk mencapainya bersama.”

Hamilton sebelum ini mempertahankan kepimpinan Vasseur dalam Grand Prix Kanada bulan lalu, ketika timbul khabar angin mengenai kemungkinan pengganti beliau.

“Saya suka bekerja dengan Fred. Fred adalah sebab utama saya menyertai pasukan ini dan diberi peluang berada di sini. Saya sangat menghargainya. Kami berada dalam pasukan ini bersama-sama,” kata Hamilton, 40.

“Keadaan mungkin belum sempurna, tetapi saya di sini bukan sahaja untuk bekerja dengan pasukan, malah dengan Fred. Saya mahu Fred kekal di sini. Saya percaya Fred adalah individu yang boleh membawa kami ke puncak.”

Kali terakhir Ferrari menjuarai kejuaraan adalah pada 2008, tahun Hamilton meraih kejuaraan dunia pertamanya bersama McLaren. Manakala juara dunia terakhir Ferrari ialah Kimi Raikkonen pada 2007.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE