fb fb fb fb fb

Piala Liga: Messi bantu Inter Miami tundukkan Atlas

Foto REUTERS

FORT LAUDERDALE, 31 Julai – Lionel Messi terus menjadi nadi utama Inter Miami apabila mencipta dua bantuan gol termasuk gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membantu pasukannya menewaskan Atlas 2-1 dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan Leagues Cup, awal pagi tadi.

Messi mencuri tumpuan dengan satu hantaran lintang pada minit ke-96 yang disudahkan Marcelo Weigandt untuk memastikan kemenangan dramatik buat skuad kendalian Gerardo Martino.

Sebelum itu, Telasco Segovia membuka jaringan buat Inter Miami pada minit ke-57 hasil satu lagi gerakan cantik yang bermula daripada Messi.

Berpunca daripada hantaran Sergio Busquets, Messi melorongkan bola ke tengah kotak penalti yang disudahkan Segovia walaupun hampir kehilangan kawalan.

Atlas yang enggan mengalah menyamakan kedudukan menerusi Jose Lozano pada minit ke-80, yang menyempurnakan rembatan dari jarak dekat selepas situasi kelam-kabut di depan gawang Miami.

Kemenangan ini menyaksikan Inter Miami bermula cemerlang dalam kempen Piala liga musim ini, dengan Messi sekali lagi membuktikan impaknya sebagai arkitek utama kejayaan pasukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD