SYDNEY, 31 Julai – Pemain veteran scrum-half Australia, Nic White, mengumumkan persaraannya daripada arena ragbi antarabangsa pada Khamis, dan menyifatkan keputusan itu sebagai masa yang tepat untuk memberi ruang kepada generasi baharu.
Pemain berusia 35 tahun itu akan menggantung butnya selepas perlawanan ketiga dan terakhir menentang British and Irish Lions pada Sabtu ini, dan akan bersara sepenuhnya daripada ragbi profesional pada penghujung tahun 2025.
"Memakai jersi emas adalah impian saya sejak kecil dan hakikat bahawa saya telah melakukannya sebanyak 72 kali, dengan satu lagi peluang terakhir pada malam Sabtu, adalah sesuatu yang saya sangat banggakan," katanya.
White memulakan karier antarabangsa bersama Wallabies pada 2013 dan telah mencatat 72 kap antarabangsa, menjadi antara watak penting dalam skuad Australia sepanjang dekad lalu.
"Telah berlaku persaingan sengit untuk posisi nombor sembilan di Wallabies selama beberapa tahun.
"Saya rasa inilah masa yang sesuai untuk menyerahkan baton kepada pemain-pemain muda yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi menjelang Piala Dunia Ragbi 2027 di tanah air," tambah White.
White memulakan karier Super Rugby bersama ACT Brumbies pada 2011 dan membantu pasukan itu merangkul kejuaraan dua tahun kemudian. Beliau turut bermain di Eropah selama lima tahun bersama Montpellier dan Exeter Chiefs, sebelum kembali ke Brumbies dan akhirnya menyertai Western Force bagi musim 2024.
Meskipun terlepas siri British and Irish Lions pada 2013 akibat kecederaan bahu, White bangkit dan menjadi pemain utama dalam skuad Wallabies sejak itu.
Sementara itu, jurulatih Wallabies, Joe Schmidt, memberikan penghormatan kepada White atas dedikasi dan semangat berpasukan yang tinggi.
"Pertama sekali, Nic adalah seorang insan hebat dalam pasukan. Dia sentiasa meletakkan kepentingan pasukan melebihi segalanya dan telah berada di tahap tertinggi selama lebih satu dekad," kata Schmidt.
"Saya pernah melatih menentang Whitey, dan kini bekerja bersamanya dalam pasukan Wallabies. Dia benar-benar seorang pesaing sejati", ujar Schmidt.
Persaraan White menandakan berakhirnya satu era dalam skuad Australia, dan membuka lembaran baharu menjelang penganjuran Piala Dunia Ragbi 2027 di Australia. -AFP