fb fb fb fb fb

CAS dengar rayuan Crystal Palace terhadap UEFA 8 Ogos depan

Foto REUTERS

LAUSANNE, 31 Julai – Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Rabu mengesahkan satu perbicaraan tertutup akan diadakan pada 8 Ogos bagi mendengar rayuan Crystal Palace terhadap keputusan UEFA yang menurunkan kelab itu ke saingan Liga Konferensi Eropah (Conference League) susulan isu pemilikan pelbagai kelab.

Kes turut membabitkan juga kelab Perancis, Olympique Lyonnais, serta Nottingham Forest dari England.

Dalam keputusan asal, UEFA membenarkan Lyon kekal beraksi dalam Liga Europa, manakala Palace dipindahkan ke saingan lebih rendah.

Kumpulan Eagle Football memiliki majoriti saham Lyon dan pada masa sama pengerusinya, John Textor, turut memegang kepentingan di Crystal Palace.

Namun, Textor telah meletakkan jawatan dalam lembaga pengarah Lyon dan digantikan oleh Michele Kang sebagai pengerusi dan presiden kelab.

Crystal Palace mengemukakan rayuan terhadap keputusan UEFA itu, dan kini CAS mengesahkan perbicaraan akan berlangsung minggu depan.

Sekiranya rayuan Palace gagal, tempat mereka dalam Liga Europa musim depan akan diisi oleh Nottingham Forest, yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan ketujuh.

Palace layak ke Liga Europa selepas menjuarai Piala FA musim lalu, manakala Lyon mara berdasarkan kedudukan keenam dalam Ligue 1. UEFA memutuskan Lyon kekal kerana kedudukan mereka lebih tinggi dalam liga domestik masing-masing.

Tiada keputusan dijangka diumumkan pada hari perbicaraan, namun keputusan akhir dijangka pada 11 Ogos. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD