fb fb fb fb fb

Feroz persiap diri hadapi musim baharu Liga Malaysia

Kecederaan ACL menggangu rentak Feroz bersama JDT/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhamad Feroz Baharudin, tekad melupakan detik sukar akibat kecederaan yang dialaminya musim ini.

Menurut kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pemain berusia 25 tahun itu kini memberi tumpuan penuh untuk mempersiapkan diri agar berada pada tahap terbaik menjelang saingan Liga Malaysia 2025-2026.

Feroz, yang membantu JDT mendominasi kesemua gelaran domestik dan dinobatkan Pemain Pertahanan Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025, mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada penghujung musim lalu.

Sekali gus memaksanya mendapatkan rawatan di Sepanyol dan menjalani pemulihan selama tiga bulan.

“Saya tengah fokus pemulihan sekarang. Sasaran saya, kalau semua ikut perancangan, boleh kembali berlatih penuh sekitar September atau Oktober,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kejuaraan ke-11 JDT di Stadium Sultan Ismail baru-baru ini.

Feroz yang berasal dari Johor, menyatakan komitmennya untuk kembali cergas sepenuhnya dan bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.

“Saya akan cuba yang terbaik dan sememangnya berharap akan dapat kembali beraksi dalam kesebelasan utama,” tambahnya

Selain cemerlang bersama JDT, Feroz turut pernah dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD