KUALA LUMPUR, 5 Mei- Selangor Red Giants OG Esports (SRG) hanya memerlukan satu lagi kemenangan sebelum mengesahkan slot ke play-off Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia Musim ke-15 (MPL MY 15).
SRG beraksi cemerlang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan di minggu ketiga MPL yang berakhir semalam.
Penerbit permainan MLBB, Moontoon dalam kenyataan hari ini memaklumkan SRG yang menghuni tangga pertama akan berdepan Homebois pada Sabtu ini, untuk mengesahkan slot ke play-off.
“Pada aksi minggu ketiga yang berakhir semalam, Mid Laner SRG Hazziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie) menampilkan aksi memukau untuk membantu juara SRG meraih kemenangan bersih ke atas Todak dalam satu-satunya perlawanan SRG minggu ini,” menurut kenyataan itu.
Moontoon turut memaklumkan roamer SRG Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums) turut beraksi cemerlang apabila melangkaui 2,000 jumlah assists di MPL MY minggu ini sejak penampilan pertamanya di liga itu pada 2021.
“Jumlah 2,006 assists diperoleh Yums adalah tertinggi dalam liga, mendahului rekod dicatat oleh Mohammad Zul Hisham Mohd Noor (Xorn) dari Team Vamos (VMS) yang mengumpul 1,882 assists,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA