fb fb fb fb fb

FAS, MSUMC meterai MoU bidang perubatan, pemulihan kesihatan

( Tengku Amir Shah menyerahkan jersi Selangor kepada Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid)

SHAH ALAM, 18 Februari- Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendapat tajaan sejumlah RM200,000 apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam membentuk jaringan kerjasama dan kolaboratif pintar bagi bidang perubatan serta pemulihan kesihatan bersama Pusat Perubatan Management Science University (MSUMC).

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan majlis memeterai perjanjian tersebut yang berlangsung di Dewan Canselor, MSU pada Jumaat.

Presiden MSUMC, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, MoU berkenaan secara khususnya membabitkan penajaan MSUMC ke atas pasukan futsal Selangor, MAC yang menyertai Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2023).

"Kerjasama itu antaranya membabitkan aspek pemeriksaan kesihatan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan, konsultansi perubatan dan pemulihan, perkhidmatan ambulans membabitkan perlawanan 'home' MPFL dan Piala Malaysia 2023 (MC).

"Begitu juga sokongan pegawai perubatan, konsultansi dan rawatan pergigian, penggunaan pusat fisioterapi, sokongan bagi pemain dan staf FAS untuk menyambung pendidikan lanjutan mereka sama ada di peringkat pasca siswazah dan prasiswazah di MSU," katanya.

MoU tersebut ditandatangani Pengurus Selangor MAC Mimi Afzan Afza dan Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC Zahri Abd Ghani.

Ia bakal menyaksikan FAS melalui Selangor MAC memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan pasukan futsal MSU yang bakal menyertai Liga Super Futsal Institusi Pengajuan Tinggi (IPT) 2023 khususnya dalam penggunaan fasiliti, latihan serta perkongsian kepakaran.


(Tengku Amir Shah bersama pengurusan tertinggi MSU dan FAS)

Media Baharu