KUALA LUMPUR, 19 September - Bekas atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dilantik sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Belia Asia ke-3 yang akan berlangsung di Manama, Bahrain dari 22 hingga 31 Oktober depan
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai usaha menampilkan kepimpinan muda, dinamik dan berpengalaman luas di pentas antarabangsa.
Pelantikan berkenaan bertujuan sebagai bimbingan dan inspirasi kepada atlet remaja negara.
“Perjalanan Farah Ann dalam sukan gimnastik adalah kisah penuh semangat, ketabahan dan kecemerlangan. Bermula dari usia muda sebagai gimnas cilik, dia bangkit menjadi antara atlet paling disegani di Malaysia.
“Ketekunan, daya juang dan semangat pantang menyerahnya menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda,” menurut kenyataan itu lagi.
Sepanjang penyertaannya di Sukan SEA, beliau meraih 12 pingat termasuk tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa dalam empat edisi iaitu 2011, 2015, 2017 dan 2019.
Detik paling manis hadir pada Sukan SEA 2019 di Filipina apabila beliau membawa pulang tiga pingat emas dalam acara All-Around, Uneven Bars dan Floor Exercise. Atas pencapaian luar biasa itu, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olimpian Terbaik MOM-Coca Cola 2019.
Farah Ann turut mewakili Malaysia di Sukan Komanwel (2010, 2014, 2018), Sukan Asia (2014, 2018) dan mencipta sejarah apabila layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus menjadi gimnas keempat negara yang beraksi di pentas tertinggi dunia itu.