PETALING JAYA, 14 Julai - Atlet boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah mencipta sensasi apabila memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 di sini hari ini.
Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024, Mei lepas itu mengetepikan cabaran atlet lain yang turut tercalon masing-masing beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, jaguh boling wanita Sin Li Jane, pelari menara Soh Wai Ching dan jaguh wusyu wanita Tan Cheong Min.
“Alhamdulillah, untuk kejayaan ini saya sangat bersyukur. Mungkin tahun ni, tahun rezeki saya, melimpah-ruah. Saya sangat gembira sebab dapat bawa naik nama boling padang untuk orang lebih tahu mengenai sukan ini.
“Tahun lepas saya dengan Aleena (Ahmad Nawawi) raih dan tahun ini rezeki saya bawa lagi nama boling padang ke Anugerah SAM,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin meraih gelaran Atlet Para Terbaik buat kali ketiga, dengan menumpaskan pencabar terdekat Cheah Liek Hou (para badminton).
Turut tersenarai bagi kategori sama ialah Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Eddy Bernard (lari pecut T44).
Majlis turut menghargai wartawan sukan tanah air dengan menyaksikan wartawan Astro Arena Norsyarafina Nasrom diangkat sebagai pemenang Anugerah Siebel.
Beliau bersama jurukamera Muhamad Shahir Othman membawa pulang hadiah wang kemenangan berjumlah RM10,000 dan sebuah trofi. - BERNAMA