BUENOS AIRES, 14 Julai – Harapan Boca Juniors untuk memulakan kempen Kejohanan Clausura Argentina dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Argentinos Juniors di Stadium Diego Armando Maradona pada Ahad.
Keputusan tersebut pastinya mengecewakan Boca yang mahu bangkit selepas tersingkir awal di peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab bulan lalu.
Tuan rumah bermula garang apabila Tomas Molina menguji penjaga gol Boca, Agustin Marchesin dengan tandukan seawal permainan,
Beberapa percubaan oleh Emiliano Viveros dan Federico Fattori turut memaksa Marchesin bekerja keras untuk memastikan gawang Boca Juniors tidak dibolosi dalam separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, permainan Boca lebih tersusun, dengan peluang terbaik hadir menerusi Miguel Merentiel yang melepaskan rembatan dari sebelah kiri kotak penalti, namun percubaannya diselamatkan kemas oleh penjaga gol Argentinos, Diego Rodriguez.
Pada penghujung perlawanan, pemain gantian Kevin Zenon hampir menjaringkan gol kemenangan buat Boca selepas menerima lorongan cantik daripada Merentiel, tetapi sekali lagi Rodriguez bertindak cemerlang untuk menyekat percubaannya.
Skuad Boca Juniors kendalian Miguel Angel Russo dijangka tampil lebih mantap pada perlawanan akan datang menentang Club Atletico Union Jumaat dengan kehadiran pemain tengah, Leandro Paredes yang tidak dapat diturunkan pada perlawanan pembukaan. - REUTERS