fb fb fb fb fb

Tiada penarikan diri: Skuad berbasikal sedia ke Korat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan bahawa skuad elit lebuh raya negara akan tetap menyertai temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Korat, Thailand, pada Disember ini.

PKBM dalam satu kenyataan menolak sebarang spekulasi yang mendakwa kononnya skuad negara bakal menarik diri daripada kejohanan dwitahunan tersebut.

Menurut PKBM, skuad lelaki akan turun dengan misi mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai yang dimenangi pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Manakala skuad wanita pula akan menyertai acara kegemaran masing-masing dalam usaha memburu tempat di podium.

PKBM turut memberi jaminan bahawa kerjasama strategik dengan Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus diperkukuh, khususnya dalam aspek penyediaan atlet, perancangan program serta sokongan kewangan bagi memastikan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.

“Hubungan rasmi yang erat antara PKBM dan MSN merupakan tunjang penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan sukan berbasikal negara,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, PKBM menyeru semua pelumba negara agar terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap pasukan kebangsaan dan menyatakan keyakinan terhadap potensi serta kesiapsiagaan skuad sedia ada menjelang temasya di Korat.

Untuk rekod, skuad lebuh raya negara pada edisi lalu dibarisi oleh pelumba berpengalaman termasuk daripada pasukan kelab benua seperti Terengganu Cycling Team (TSG).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD