fb fb fb fb fb

FAM tetap pendirian, puas hati dengan keadaan padang SNBJ

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman

PUTRAJAYA, 10 Mac- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, 26 Mac ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, beliau memahami kegusaran diluahkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, baru-baru ini.

Jelas beliau, perbincangan bersama pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menunjukkan terdapat waktu mencukupi bagi padang itu kembali seperti sedia kala.

"Dia risau dalam keadaan sekarang. Masa lawatan kami ke Stadium Bukit Jalil memang dia risau."

"Padang itu agak baik, cuma komitmen diberikan oleh kontraktor adalah dalam masa dua minggu untuk padang itu pulih, berada pada tahap terbaik untuk kita guna," kata Noor Azman kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Bola Sepak Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-10 di Taman Ekuestrian Putrajaya, pagi tadi.

Sebelum ini, Pan Gon bersama barisan kejurulatihannya telah melakukan pemeriksaan di SNBJ pada Khamis lalu.

Turut hadir peninjauan tersebut, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac.

Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan timbal balik di Bukit Jalil, lima hari kemudian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM