fb fb fb fb fb

FAM sasar kuasai Asia Tenggara dan mencabar Asia

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 November - FAM meletak sasaran untuk menguasai pentas bola sepak Asia Tenggara dan mencabar di benua Asia.

Fokus itu diletakkan badan induk berkenaan menerusi Pelan Kedua Tindakan Strategik Peta hala tuju F:30 2023-2026 yang akan dilancar Sabtu ini.

Keputusan ini dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM kali kesembilan penggal 2021-2025 yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Hamidin Amin di Wisma FAM, pada Selasa.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata FAM juga dijangka membentangkan pencapaian fasa satu, selain memperincikan perancangan untuk fasa kedua.

"Pelan kedua tindakan strategik F: 30 2023-2026 menfokuskan untuk menguasai ASEAN dan mencabar Asia. Itu pelan strategik yang kedua", kata Yusoff di sini.

Peta Hala Tuju F:30 dengan tempoh 12 tahun dibahagi kepada tiga Pelan Tindakan Strategik.

Pelan Pertama Tindakan Strategik 2019-2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur telah dilancarkan pada 31 Oktober 2018.

Sementara itu, Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Juan Torres Garrido menyenaraikan 24 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula Isnin ini, sebagai persediaan mengharungi kempen Piala Asia B-23 di Qatar, pada April depan.

FAM memaklumkan, sebanyak 17 daripada 23 pemain skuad semasa kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, dikekalkan.

Lima lagi pemain terdiri daripada muka baharu iaitu Daryl Sham; Firdaus Ramli, Aiman Khairul Yusni, Firdaus Fuad dan Adam Farhan.

Turut tersenarai, dua pemain yang sebelum ini disenaraikan pada Kejuaraan B-23 AFF, iaitu Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dan Muhammad Abu Khalil.

Skuad Harimau Muda sebelum ini dikendalikan E. Elavarasan layak ke Piala Asia B-23 selepas berjaya mengisi satu daripada empat slot pasukan tempat kedua terbaik kumpulan, dalam saingan kelayakan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD