IPOH, 8 November -Teka-teki mengenai masa depan penyerang Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor terjawab.
Pengurusan ‘The Bos Gaurus’ bersetuju mengekalkan khidmat bekas pemain kebangsaan itu bagi mengharungi saingan Liga Super, musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata pemain berusia 32 tahun itu dijangka menandatangani kontrak rasmi selewat-lewatnya pertengahan bulan ini, selepas bersetuju dengan syarat ditetapkan pihak pengurusan.
Pihaknya berpuas hati dengan prestasi dan sumbangan Wan Zack Haikal kepada pasukan, sepanjang musim.
Tambah Bobie, pihak pengurusan mengharapkan agar pemain berkenaan mampu mengekalkan prestasi, sekali gus menyumbang kejayaan Perak FC pada musim depan.
Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan khidmat Wan Zack ditagih beberapa pasukan Liga Super, namun menegaskan keutamaannya adalah untuk terus bersama skuad bimbingan Yusri Che Lah.
Penyerang kelahiran Maran, Pahang itu telah merekodkan 21 penampilan bersama Perak dan berjaya meledak empat gol.