fb fb fb fb fb

FAM hukum Selangor FC denda RM23,000

KUALA LUMPUR, 20 November - Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman terhadap Kelab Selangor FC dengan keseluruhan denda berjumlah RM23,000.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat kali ke-14 hari ini di Kelana Jaya selepas mendapati kelab itu berdepan tiga pertuduhan semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC berdepan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 Sept.

Kelab terbabit didapati melanggar Artikel 53, Artikel 70, perenggan 1 dan Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM.

"Pertuduhan pertama membabitkan insiden cermin belakang kereta pegawai perlawanan pecah kerana dilontar dengan sebiji batu semasa diletakkan di kawasan parkir berhadapan pentas utama stadium.

"Pertuduhan kedua membabitkan insiden baling botol air yang datang dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan.

"Bagi pertuduhan ketiga pula, insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah kumpulan pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan dan gagal memastikan keselamatan kumpulan pengadil selepas perlawanan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Bagi pertuduhan pertama, kelab itu didenda RM10,000,pertuduhan kedua dengan denda RM3,000 manakala bagi pertuduhan ketiga, denda RM10,000 selain diberi amaran keras dengan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama dan keputusan itu juga tidak boleh dirayu.

ARTIKEL BERKAITAN:
Padah gagal patuh obligasi penganjuran, FAM denda JDT RM30,000
Padah sepak pengadil, Yazan 'diharamkan' terlibat aktiviti bola sepak di Malaysia

GRACE AISYAH KEDAYAN