KUALA LUMPUR, 20 November - Bekas pemain Selangor FC, Yazan Al-Arab 'diharamkan' beraksi dalam sebarang aktiviti bola sepak profesional di Malaysia.
Ini susulan tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada 24 September lalu.
Keputusan itu dilakukan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Yazan yang sudah ditamatkan kontraknya oleh Selangor FC didapati melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana meluru ke arah pengadil dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Pertuduhan pertama, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan pertuduhan kedua telah meludah ke arah pengadil.
“Hukumannya, pemain ini digantung empat perlawanan bagi pertuduhan pertama dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM hari ini.
Yazan juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Bagaimanapun, keputusan tersebut boleh dirayu oleh Yazan.