fb fb fb fb fb

Padah gagal patuh obligasi penganjuran, FAM denda JDT RM30,000

FOTO Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 20 November - Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) didenda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas disahkan melakukan beberapa kesalahan semasa saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

FAM dalam satu kenyataan berkata, keputusan telah dicapai pada mesyuarat kali-14 Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu yang berlangsung hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, JDT dikenakan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM30,000 akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran.

"Untuk kesalahan pertama, JDT didapati melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib selepas seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City (KL City) dipukul oleh individu yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kecederaan serius pada 27 Mei lalu di Staidum Bandaraya Pasir Gudang.

“JDT didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," kata kenyataan itu.

JDT turut didenda RM15,000 bagi kesalahan kedua yang menyebabkan seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dipukul individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kecederaan serius semasa final Piala FA 2023 antara JDT dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai.

"JDT didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," menurut kenyataan itu lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN