fb fb fb fb fb

FAM gantung KAFA

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Disember-Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjadi Ahli Gabungan FAM kedua digantung keahliannya, bulan ini.

Hukuman tersebut berkuat kuasa bermula semalam.

Dalam kenyataan FAM hari ini,Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu secara majoriti bersetuju dengan cadangan tindakan menggantung keahlian KAFA.

Jelas FAM, keputusan itu dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.

Pada 19 Disember lepas, mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM telah memutuskan bahawa Kongres KAFA ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028 adalah tidak sah.

Keputusan itu berikutan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan selain prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA itu tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur.

Sebelum ini, FAM menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungannya pada 4 Disember lepas susulan kegagalan PFA mematuhi arahan FIFA untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA Matt Holland.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD