DUBAI, 24 Disember-Abdul Latif Maxzakir, pesilat kelahiran Sarawak, berjaya dinobatkan sebagai Juara Dunia dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20 yang berlangsung di sini pada Ahad.
Menurut kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial Rumpun Silat Sarawak, beliau unggul dalam kategori Tanding Putra Kelas H Senior setelah menewaskan Nguyen Duy Tuyen dari Vietnam.
Turut membanggakan, Ummi Mashitah Hassan, yang juga berasal dari Miri, meraih pingat perak (Naib Juara Dunia) dalam kategori Tanding Putri Kelas C Senior.
Kejayaan itu turut dilengkapkan dengan kemenangan Inatha Khairuniyah yang berjaya meraih Naib Juara Dunia dalam kategori Solo Kreatif Puteri.
Kejohanan tersebut menyaksikan pasukan kebangsaan membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak, dan empat gangsa.