KUALA LUMPUR, 11 November - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden pergaduhan membabitkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada dalam perlawanan Liga Super.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, kedua-dua pemain terbabit boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun hanya dilayangkan kad kuning pada aksi tersebut.
"Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
"Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
"Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, turut menasihatkan pemain supaya dapat mengawal emosi ketika di atas padang.
Menurutnya, apa juga tindakan mereka itu hanya akan mendatangkan masalah kepada diri sendiri jika dikenakan tindakan atau hukuman.
"Secara peribadi, saya melihat ia satu insiden yang serius apabila berlaku tindakan menumbuk dan juga mencekik yang dilakukan oleh kedua-dua pemain tersebut ketika insiden berkenaan.
"Apa pun kita akan tunggu laporan daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil bagi mengambil tindakan lanjut," katanya.
Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di Johor semalam insiden tercetus pada minit ke-83 apabila Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum kedua-dua pemain gagal mengawal emosi hingga mencetuskan suasana tegang.
Tommy Mawat dilihat mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT itu bertindak melepaskan pukulan ke arah kepala pemain pertahanan berkenaan.