KUALA LUMPUR, 11 November - Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengekalkan khidmat Ahmad Jais Baharun sebagai ketua jurulatih skuad sepak takraw lelaki kebangsaan.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, keputusan itu menyaksikan kontrak Ahmad Jais dilanjutkan setahun lagi hingga tahun depan.
Menurutnya, barisan kejurulatihan negara mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, apabila meraih dua pingat emas pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 Mei lepas.
"Mereka satu pasukan yang saya kira agak bagus kerana sering berbincang dengan pengurusan PSM.
"Kami sentiasa berbincang bagaimana hendak memperbaiki pasukan, bukan hanya mencari bakat baharu tetapi juga meningkatkan prestasi pemain kebangsaan sedia ada," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM.
Mohd Sumali berkata, tugas lebih berat menanti Ahmad Jais apabila PSM bakal meletakkan KPI lebih tinggi untuk tahun depan.
Ia melibatkan tiga kejohanan utama iaitu Piala Asia di Malaysia, Piala Raja Thai dan Sukan SEA 2025 di Thailand.