fb fb fb fb fb

Selesaikan isu tunggakan gaji pemain KL City - Fahmi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Penaung Kelab Kuala Lumpur City (KL City), Fahmi Fadzil meminta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bersikap adil kepada pemain dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau telah cuba membantu dan menyampaikan pandangannya kepada Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Beliau turut meminta pengurusan KLFA untuk melaksanakan pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan KLFA pada masa akan datang bagi menyelesaikan isu yang terpalit berkaitan kelab bola sepak itu.

"Saya cuba bantu dan saya simpati terhadap pemain KL City. Saya telah berjumpa dengan pemain-pemain (KL City) di dalam bilik persalinan untuk membantu mereka, pada saat-saat mereka hampir relegated dan tidak dibenarkan ambil pemain import," katanya.

Sebelum ini, kem KL City menjadi topik hangat peminat sukan apabila kapten pasukan City Boys Paulo Josue mendedahkan beliau tidak menerima gaji hampir tujuh bulan.

Sementara itu, bekas Presiden KLFA, Khalid Samad menyuarakan kebimbangannya terhadap nasib yang bakal menimpa KL City FC sekiranya tunggakan gaji pemain tidak diselesaikan dalam masa terdekat.

"Saya risau kalau perkara ini masih berterusan. KL City ini sudah tiada pemain. Kalau Paulo Josue sudah mula mengeluh bagaimana dengan pemain-pemain yang lain.

"Para pemain hilang semangat. Oleh kerana permainan politik inilah saya kehilangan Bojan,Kevin Morales, Romel dan Akram Mahinan", kata Khalid pada sidang media khas yang diadakan di ibu negara pada Rabu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD