LUQUE, 12 Julai- CONMEBOL telah membuka siasatan selepas pemain Uruguay bertelagah dengan penyokong Colombia pada akhir perlawanan separuh akhir Copa America mereka pada Rabu, kata badan induk bola sepak Amerika Selatan itu.
Selepas Colombia melakar kemenangan 1-0 di Charlotte, Carolina Utara, video di media sosial menunjukkan pemain Uruguay naik ke tempat penonton dan berbalas pukulan dengan penyokong lawan.
Pemain Uruguay, Darwin Nunez dan Ronald Araujo adalah antara pemain yang berada di barisan hadapan.
Kapten Jose Maria Gimenez berkata pemain cuba mempertahankan keluarga mereka.
Pemain dan kakitangan dari Colombia dan Uruguay turut terlibat dalam konfrontasi di atas padang selepas wisel penamat.
"CONMEBOL telah membuka siasatan untuk memahami rentetan peristiwa dan mereka yang terlibat dalam tindakan keganasan yang berlaku pada akhir perlawanan."
“Kami ingin menegaskan dan memberi amaran bahawa tiada tindakan ganas akan diterima, kerana ia memburukkan arena bola sepak global."
“Adalah tidak boleh diterima kejadian seperti ini mengubah nafsu menjadi keganasan. Oleh itu, tiada tingkah laku yang memudaratkan pertandingan sukan akan diterima," kata CONMEBOL dalam satu kenyataan pada Khamis.- REUTERS