fb fb fb fb fb

Euro 2024 :Poland mara selepas singkirkan Wales

Penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny menjadi wira selepas menafikan sepakan Dan James / Foto Reuters

CARDIF, 26 Mac - Poland menafikan peluang Wales untuk mara ke kejohanan Eropah buat kali ketiga selepas menang menerusi sepakan penalti 5-4. Ia selepas kedua-dua pasukan  terikat 0-0 sehingga tamat permainan di sini pada Selasa.

Pemain sayap Leeds, Dan James menjadi pemain tunggal Wales yang gagal melaksanakan sepakan pada penentuan penalti, sementara Poland pula berjaya menyempurnakan kelima-lima sepakan penalti berkenaan.

Kemenangan tersebut membolehkan Poland layak dan menempah tiket bagi bersama Perancis, Belanda dan Austria di dalam kumpulan D pada Euro 2024 di Jerman.

Pada perlawanan berkenaan, skuad Wales bimbingan Rob Page berjaya mendapatkan gol pada minit-minit akhir permainan separuh masa pertama, namun dibatalkan oleh pengadil selepas mendapati pemain Wales berada dalam keadaan 'Offside'.

Nasib malang terus menghantui Wales apabila tandukan menarik Kieffer Moore berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny pada separuh masa kedua.

Meskipun membariskan bintang Barcelona, Robert Lewandowski, Poland dilihat gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam 120 minit permainan.

Namun, pasukan pelawat berjaya menemui sasaran pada penentuan sepakan penalti selepas Lewandowski, Sebastian Szymanski, Przemyslaw Frankowski, Nicola Zalewski dan Krzysztof Piatek berjaya menyempurnakan tendangan masing-masing.

Manakala penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny sekali lagi menjadi wira buat pasukan berkenaan selepas menyelamatkan sepakan Dan James bagi membolehkan Poland mara ke pusingan akhir Euro buat kali kelima.

Pencapaian terbaik Poland pada kejohanan Euro adalah pada 2016 apabila berjaya mara sehingga pusingan suku akhir sebelum tewas kepada Portugal menerusi sepakan penalti 5-3 selepas perlawanan terikat 1-1.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD