fb fb fb fb fb

EURO 2022: Sweden, Belanda mara ke suku akhir

SHEFFEILD, 28 Julai- Sweden membelasah Portugal 5-0 untuk mara ke suku akhir Euro Wanita 2022 pada hari Ahad sementara penyandang juara Belanda bangkit dengan jaringan lewat untuk menewaskan Switzerland 4-1 bagi memastikan tempat ke peringkat lapan terakhir.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik tahun lalu, Sweden adalah pasukan yang menduduki ranking tertinggi dalam kejohanan itu, tetapi gagal mencapai prestasi terbaik apabila sekadar seri dengan Belanda dan menewaskan Switzerland 2-1 dalam dua perlawanan pembukaan mereka.

Pasukan wanita Peter Gerhardsson bermain pantas di Leigh untuk menuntut tempat teratas Kumpulan C dan mendahului 3-0 pada separuh masa.

Pemain Manchester City, Filippa Angeldal menjaringkan dua gol sebelum Carole Costa tertanduk masuk ke gawangnya sendiri pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Penalti Kosovare Asllani menjadikan kedudukan 4-0 sebelum penyerang Arsenal, Stina Blackstenius akhirnya mencatat nama selaku penjaring gol kelima sebelum wisel penamat dibunyikan.

Sweden akan menentang pasukan yang menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D dengan Belgium, Iceland dan Itali; kesemuanya masih berpeluang untuk menamatkan saingan di belakang Perancis dalam perlawanan Isnin ini.

"Kami benar-benar berpuas hati kerana kami melakukan telah melakukan yang terbaik untuk memenangi peringkat kumpulan. Itu adalah sesuatu yang kami harapkan ketika kami bermula," kata Gerhardsson.

Dalam pada itu, Belanda menunggu Perancis dalam pusingan lapan terakhir kerana mereka sudah cukup untuk melepasi kedudukan walaupun kehilangan bintang penyerang Vivianne Miedema untuk perlawanan kedua berturut-turut kerana positif COVID-19.

Di hadapan penonton rekod baharu 22,596 untuk perlawanan kumpulan wanita Euro yang tidak melibatkan tuan rumah, jaringan sendiri Ana-Maria Crnogorcevic meletakkan Belanda di hadapan.

Switzerland bertindak balas hampir serta-merta apabila Geraldine Reuteler menyempurnakan jaringan dengan tenang selepas mendapat hantaran daripada Romana Bachmann hanya tiga minit kemudian.

Keputusan seri sudah memadai untuk pasukan Mark Parsons mara ke peringkat kalah mati, tetapi mereka memastikan tiga mata dengan tiga gol pada enam minit terakhir.

Pemain gantian Romee Leuchter menjaringkan dua gol, manakala jaringan terakhir dihasilakan Victoria Pelova.- AFP

 


(Penyerang Portugal Diana Silva (tengah) melakukan cubaan ketika dicabar oleh
pertahanan Sweden Amanda Ilestedt (kanan) dan pertahanan Sweden Magdalena Eriksson /AFP)

Media Baharu